Wednesday, December 28, 2011

Mari kita renungkan..


  • Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” (HR Bukhari dan Muslim)
    Hadis Rasulullah s.a.w juga telah mengatakan bahawa solat Subuh berjemaah ini menjadi garis pemisah antara sifat sebenar orang mukmin dan orang munafiq. Apabila Rasulullah s.a.w. meragukan keimanan seseorang, baginda akan menelitinya ketika solat Subuh. Apabila baginda tidak mendapatinya solat Subuh (di masjid), maka benarlah apa yang baginda ragukan dalam hati. Mereka yang tidak mempunyai iman yang teguh tidak akan mampu meninggalkan keindahan diulit mimpi indah di pagi buta.

    Ibnu Mas‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:

    “Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya atau kedua telinga. ” (HR Imam Al-Bukhari)

    Menurut Imam Al-Qurtubi, kencing syaitan di sini adalah hakiki dan bukan hanya simbolik. Iaitu kita akan mampu mengenali mereka yang tidak bangun untuk mengejakan solat Subuh dengan kemuraman dan kekusutan wajahnya di pagi hari serta kehilangan cahaya dan seri.

    Syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu Subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda:

    “Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata): Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu ikatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas. ” (HR Al-Bukhari) 

     Sekiranya seluruh umat Islam mampu untuk bangkit mengerjakan solat Subuh berjemaah, kita akan yakin bahawa kemenangan Islam itu sangat dekat. Sehingga orang Yahudi mengatakan bahawa mereka sangat takut sekiranya mereka menyaksikan orang Islam memenuhi masjid di waktu Subuh. Namun, kenyataan hari ini mengatakan bahawa umat kita masih jauh daripada impian ini. Bagaimana mungkin kita menang pertempuran dengan musuh di luar sedangkan kita tewas dengan hawa nafsu sendiri?

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Allah, sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (HR Bukhari dan Muslim


No comments:

Post a Comment